Kehidupan adalah satu anugerah Tuhan. Setiap manusia mempunyai corak kehidupan yang berbeza. Susah senang, suka duka,tangis ketawa dan sebagainya itu adalah asam garam dalam kehidupan. Apa pun yang kita alami, apa pun yang berlaku terhadap diri kita namun kehidupan ini tetap perlu kita teruskan. Kita tidak perlu kecewa atau berputus asa malah dilarang sama sekali untuk kita cuba lari dari kehidupan, kerana kehidupan ini sebenarnya bukanlah milik kita tetapi ianya adalah hak mutlak Tuhan Yang Maha Esa.

Saturday, February 26, 2011

Kebiasaan Kita

Selalu orang tua-tua berpesan, untuk kita menilai sesaorang atau sesuatu perkara ataupun benda jangan hanya bergantung pada paras rupa semata-mata. Sememangnya naluri manusia sukakan kecantikan. Paras rupa yang cantik dan menawan selalunya akan lebih menarik perhatian dan menjadi pilihan. Tidak kira samaada kita melihat sesuatu benda ataupun perkara mahupun terhadap diri manusia itu sendiri. Untuk kita membeli sesuatu barangan samaada yang murah ataupun mahal, samaada yang rendah atau yang tinggi nilainya pastinya perkara pertama yang kita akan lihat adalah bentuk atau paras rupanya barulah kita lihat harga dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya. Itulah naluri kebiasaan manusia, namun kebiasaan ini lah yang perlu kita fikirkan dan kaji semula kerana bukan semua kebiasaan itu satu kebaikan. Bukan semestinya setiap kebiasaan itu satu kebenaran malahan boleh dikatakan sebilangan besar kebiasaan adalah kesilapan jadi janganlah kita terlalu selesa dengan kebiasaan sehingga kadangkala takut untuk mengubah kebiasaan walaupun telah menyedari bahawa ianya satu kesilapan atau kesalahan. Tiada salahnya kita mengubah kebiasaan demi untuk memperbetulkan kesilapan dan mendapatkan kebenaran.

Begitu juga dalam memilih pasangan hidup, kebiasaannya tidak dapat tidak faktor paras rupa selalunya masih menjadi faktor yang utama dan sering dititik beratkan, walaupun selalu orang berkata; "Apa ada pada paras rupa", "Kalau harapkan rupa sahaja cantik tapi tanpa budi bahasa tiada juga gunanya", "Lebih-lebih lagi jika tidak kuat agamanya tentunya kehidupan rumah tangga yang dibina akan porak peranda juga akhirnya".  Namun kerana menuruti naluri hati dan selesa dengan kebiasaan dan kehendak perasaan, maka segala nasihat dan panduan seringkali kita abaikan.

Dalam Islam kita juga dianjurkan untuk memilih pasangan berdasarkan kepada taat beragamanya sebagaimana mahfum hadith Nabi SAW yang bermaksud: "Dinikahi perempuan itu kerana hartanya, dan kerana keturunannya dan kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah yang beragama nescaya kamu akan beroleh keuntungan"

Oleh itu, utamakanlah pemilihan (samada calun isteri atau suami) berdasarkan yang taat beragama, mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan kebaikan di dunia mahupun di akhirat.
Nota: Namun sekiranya keempat-empat sifat seperti yang dinyatakan dalam hadith di atas itu ada maka tiada salahnya dan itulah pakej lengkap yang terbaik sekali. Wallahu a'lam.

0 comments:

Post a Comment