Kehidupan adalah satu anugerah Tuhan. Setiap manusia mempunyai corak kehidupan yang berbeza. Susah senang, suka duka,tangis ketawa dan sebagainya itu adalah asam garam dalam kehidupan. Apa pun yang kita alami, apa pun yang berlaku terhadap diri kita namun kehidupan ini tetap perlu kita teruskan. Kita tidak perlu kecewa atau berputus asa malah dilarang sama sekali untuk kita cuba lari dari kehidupan, kerana kehidupan ini sebenarnya bukanlah milik kita tetapi ianya adalah hak mutlak Tuhan Yang Maha Esa.

Wednesday, October 13, 2010

Kenapa Perlu Berkongsi?

Ya kenapa kita perlu berkongsi? Sudah pasti pelbagai reaksi yang berbeza akan kita perolehi apabila isu perkongsian ini kita utarakan kepada sesaorang. Bagi setengah orang berkongsi adalah perkara yang paling dibenci tapi bagi setengah orang pula berkongsi adalah perkara yang amat digemari kerana dapat mendatangkan banyak menafaat untuknya. Kenapakah fenomena ini terjadi, ianya tak lain tak bukan kerana perbezaan minda kita dalam menilai apakah maksud yang tersirat di dalamnya.

Minda yang negatif memang sentiasa akan melihat kerugian apabila kita berkongsi. Apa taknya benda yang banyak kalau dikongsi mesti jadi sedikit, apatah lagi kalau benda tu dah memang sedikit bila dikongsi makin lah jadi sedikit dan silap-silap haribulan kita sendiri tak dapat langsung. Itu daripada segi benda atau barang atau wang atau apa sahaja benda yang berbentuk fizikal. Begitu juga daripada segi ilmu pengetahuan atau kemahiran atau kepakaran atau apa sahaja bentuk kebolehan yang kita ada, bila dikongsi pada orang lain maka kita akan rasa tergugat kerana orang lain itu yang asalnya tak tahu dah jadi tahu, yang asalnya tak mahir dah jadi mahir dan dah boleh buat sesuatu perkara, maka mungkin nanti dia akan menjadi pesaing kepada kita atau silap-silap haribulan akan melawan dan mengalahkan kita balik. Sebab tu la dengar-dengar cerita dulu-dulu tok-tok guru silat kalau nak ajar anak-anak murid mereka ilmu persilatan, dia tak akan turun kan perabis ilmu dia kerana takut-takut nanti anak murid lawan tok guru.

Tetapi minda yang positif tidak akan berfikiran begitu, dia tidak berfikir hanya sekadar kepada kesan dan akibat semata-mata tetapi menjangkau kepada hikmah dan kebaikan disebaliknya. Ia itu kegembiraan dan keseronokan yang bakal diperolehinya serta keberkatan dan ganjaran yang bakal dinikmatinya hasil perkongsiaan yang dilaksanakan dengan penuh kerelaan dan keikhlasan. Sebab itu lah dalam ajaran agama Islam yang suci juga amat menekankan perkara ini. Contoh yang paling mudah dalam ibadah berpuasa (yang baru sahaja kita jalani dalam bulan Ramadhan yang lepas) kita sanggup menanggung lapar dan dahaga kerana apa? Kerana untuk berkongsi keadaan dan perasaan dengan mereka yang kurang bernasib baik agar menimbulkan keinsafan dan perasaan bertimbang rasa serta kasih mengasihi sesama umat manusia.  Begitu pula apabila tiba Hari Raya, kita pula dengan rela berbelanja untuk menjamu kaum keluarga, sanak saudara, sahabat handai dan rakan taulan agar sama-sama dapat berkongsi kegembiraan. Sementara itu bagi yang berada pula diwajibkan berzakat dan disunatkan bersedekah untuk berkongsi kelebihan harta yang ada bagi membantu orang lain yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan lain-lain keperluan dalam agama. Sekiranya kira dapat melihat dari perspektif positif yang sebegini sudah pasti berkongsi tidak mendatangkan sebarang masalah kepada kita. Sebenarnya tidak rugi apabila kita memberi kerana sesungguhnya kita akan memperolehi balasan yang lebih baik lagi.

Daripada sudut ilmu pula memanglah amat dianjurkan dalam agama agar kita dapat kongsikan ilmu yang kita ada dengan orang lain. Bab ini tak perlulah dihuraikan lebih lanjut kerana masing-masing pun telah maklum dan lebih memahami. Sampaikan dan ajarkanlah ilmu yang kamu ketahui maka Allah SWT akan tambahkan pula ilmu yang kita tidak ketahui. Sesungguhnya kita tak akan rugi apa-apa bila menyampaikan atau berkongsi ilmu yang kita ada kepada orang lain, malahan ianya akan menjadi kebajikan yang berterusan untuk kita diakhirat kelak selagi ilmu tersebut masih tetap diamalkan walaupun kita telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini. Wallahua'lam.

0 comments:

Post a Comment