Muktahir ini angka 1 begitu sinonim kepada kita semua rakyat Malaysia. Sejak gagasan 1 Malaysia diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri kita maka sejak itulah kita mula disinari dengan fenomena ini. Apa sahaja perkara yang hendak kita lakukan mesti angka 1 ini tidak akan ketinggalan. Sama ada dalam penganjuran majlis, penerbitan, ucapan, perbincangan, sembang kedai kopi dll tentunya ada sahaja yang dikaitkan dangan angka 1. Bermacam-macam slogan juga mula dibentuk dan diperkenalkan berdasarkan angka 1, contohnya 1 Belia, 1 Rasa, 1 Jiwa, 1 Bahasa, 1 Kampung, 1 Industri dan sebagainya.
Sebenarnya angka 1 ini sudah pun digemari oleh semua orang sejak dahulu lagi. Kerana angka 1 adalah melambangkan Keunggulan, Kehebatan, Kejayaan dan Kecemerlangan. Daripada kecil lagi kita telah dididik dan diasuh samada oleh ibu bapa kita mahupun guru-guru iaitu kita hendaklah jadi orang yang no. 1. Samada dalam pelajaran, bila periksa mesti nak dapat no. 1, dalam bidang sukan samada olahraga atau permainan bila bertanding mesti nak dapat no. 1, dalam bidang ko-korikulum & persatuan spt pertandingan bahas, pantun, kuiz, silat, nasyid dll target kita mesti nak dapat no.1. Maka bila dapat no. 1 barulah kita akan menjadi kebanggaan ibu bapa, keluarga, pihak sekolah, guru-guru dan rakan-rakan.
Angka 1 bila dikaitankan dengan kualiti memang orang akan menyukainya. Siapa yang tak nak jadi orang no. 1 dalam pelajaran, ataupun orang no.1 dalam jawatan, atau no. 1 dalam hartawan. Tetapi bila dikaitkan dengan kuantiti maka ia akan jadi sebaliknya iaitu semua orang jadi tak suka contohnya; siapa nak duit 1 ringgit berbanding 100 ringgit, siapa nak buah sebiji berbanding 10 biji. Apa sahaja pun kalau diberi pilihan dari segi kuantiti manusia mesti hendak yang banyak, sebab lebih banyak lebih untung dan lagi banyak lagi bagus. Namun pernah tak kita terfikir selama ini bahawa semua yang banyak itu bermula daripada sedikit iaitu bermula dengan 1. Bilangan yang beribu atau berjuta pun bermula daripada 1, kalau tiada 1 mana datangnya 10/100/1,000/10,000/100,000/1,000,000 dan seterusnya.
Inilah sebenarnya perkara yang lebih penting yang sepatutnya kita renung-renungkan dan fikir-fikirkan untuk kita kongsikan bersama dalam kehidupan ini. Setidak tidaknya bila kita memahaminya maka ianya akan menjadi pendorong kepada kita untuk lebih cekal dan tabah dalam mengharungi kehidupan yang semakin mencabar. Kejayaan dalam kehidupan bukannya datang bergolek dengan sendirinya. Ianya memerlukan usaha dan pengorbanan daripada kita. Ibarat kata orang tua-tua "Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya", untuk sampai kepuncak kita perlu mendaki daripada bawah, langkah yang beribu itu bermula daripada satu. Memang perjalanan kehidupan kita masih jauh dan penuh dengan ranjau dan cabaran, namun jika kita hanya sekadar termenung memikirkan bermacam-macam kesusahan dan kesulitan yang bakal kita tempuhi dalam perjalanan tetapi kita tidak mengambil langkah pertama untuk memulakan perjalanan maka sampai bila-bila pun kita tidak akan sampai kedestinasinya. Oleh itu sama-sama lah kita renung-renung dan fikirkan.
0 comments:
Post a Comment